KENYATAAN MEDIA
Kerajaan Negeri Perlis sentiasa berusaha dengan gigih untuk menyelesaikan tunggakan empat urusan tanah dalam usaha untuk penambahbaikan system penyampaian kerajaan. Bidang-bidang urusan tanah yang terlibat ialah pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga, pemberimilikan tanah, pendaftaran dan pengeluaran hakmilik strata dan penukaran hakmilik sementara ke hakmilik kekal. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik system penyampaian Kerajaan kepada rakyat.
Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis sehingga kini telah menyelesaikan keseluruhan tunggakan pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dan pengeluaran hakmilik strata. Pada masa ini, pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga di Negeri Perlis dapat dilakukan/dilaksanakan dalam tempoh 1 hari sahaja.
Setelah menyelesaikan dua urusan tanah dengan jayanya, pada masa sekarang PTG Negeri memberi tumpuan kepada penukaran hakmilik sementara (QT) kepada hakmilik kekal (FT). Sehingga kini PTG telah berjaya menyelesaikan sejumlah 41338 atau 92.7 %. Baki yang belum diselesaikan adalah sebanyak 3258 hakmilik. Adalah dijangkakan selesai pada hujung tahun ini.
Pemegang-pemegang Hakmilik Sementara (QT) boleh membuat kutipan hakmilik Kekal (FT) masing-masing di Pejabat Tanah dan Galian Perlis. Bagi pemilik-pemilik tanah yang belum memperolehi FT atau mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan status pengeluaran FT masing-masing, bolehlah menghubungi Jabatan ini untuk mendapatkan maklumat status terkini urusan tersebut.
Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk menyelesaikan semua masalah pemberimilikan tanah. Menjelang penghujung tahun 2008 semua tanah-tanah yang diusahakan dan layak diberimilik akan diberi Lesen Menduduki Sementara (TOL). Setelah TOL dikeluarkan, pengukuran akan dibuat bagi tujuan pengeluaran hakmilik. Mulai Januari, tahun hadapan, hakmilik akan dikeluarkan kepada pemohon-pemohon yang telah menyelesaikan bayaran yang ditetapkan selaras dengan keluasan dan jenis kegunaan tanah.
Untuk mempercepat proses pemberimilikan tanah ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pemberimilikan Tanah Usaha. Tujuan Jawatankuasa ini adalah untuk mempercepatkan urusan kelulusan pemilikan tanah di Negeri ini. Setakat ini Jawatankuasa ini telah dapat menyelesaikan sebanyak 59.2% atau 8495 permohonan tanah.
Kerajaan Negeri amat komited untuk mempercepatkan dan memudahkan semua urusan tanah di Negeri ini agar dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan yang berurusan dengan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perlis. Sehubungan dengan itu, mulai 15 September 2008 PTG menyediakan satu lagi saluran bagi pembayar cukai dengan memperkenalkan perkhidmatan pembayaran cukai tanah secara online dengan kerjasama CIMB. Pelanggan-pelanggan boleh melayari laman webnya ‘cimbclicks’. Setakat ini, kemudahan ini hanya terhad kepada pemegang akaun CIMB. Usaha-usaha untuk menambah pembayaran melalui online dengan bank-bank lain sedang dibuat untuk membolehkan semua pihak dapat menggunakan perkhidmatan ini untuk urusan pembayaran cukai.
Kerajaan Negeri Perlis sentiasa berusaha untuk meningkatkan system penyampaian kerajaan agar lebih berkesan. Usaha-usaha ini akan lebih cepat mencapai objektif sekiranya semua pihak dapat memberi kerjasama samada pihak swasta, orang perseorangan / orang awam.
Sebarang pertanyaan / kesulitan berhubung tunggakan urusan di Pejabat Tanah khususnya ke empat-empat bidang yang dinyatakan diatas, bolehlah berhubung terus dengan pegawai-pegawai berikut:-
| Encik Mohamad Daud Bin Abdull Hamid
Pengarah Tanah dan Galian Perlis
No. Tel: 04-9765501(ext.203)
Email:mdaud@ptgps.gov.my |
| Datin Bashirah Bt Elias
Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Perlis
No. Tel : 04-9765501 (ext.205)
Email:bashirah@ptgps.gov.myy |
| Puan Maslina Bt Che Lin@Halim
Timbalan Pendaftar Hakmilik
No. Tel: 04-9765501 (ext. 215)
Email:maslina@ptgps.gov.my |
| Puan Faraisha Adira Bt Yahya
Pentadbir Tanah
No Tel: 04-9765501 (ext 213)
Email:faraisha@ptgps.gov.my |
| Encik Raziff Bin Yaakob
Penolong Pentadbir Tanah (Hasil)
No Tel: 04-9765501 (ext 240)
Email: raziff@ptgps.gov.my |